Kakitangan PLUS positif Covid-19, Plaza Tol Sedenak ditutup sementara

Johor Bahru : PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan seorang kakitangannya di Plaza Tol Sedenak di sini, disahkan positif Covid-19, semalam.

Menurut satu kenyataan rasmi PLUS, kakitangan itu ialah seorang Pembantu Khidmat Pelanggan yang ketika itu sedang dirawat di sebuah hospital.

Katanya, Plaza Tol Sedenak akan ditutup sementara mulai jam 12 tengah hari hari ini (semalam), untuk kerja sanitasi dan pembersihan selama enam jam.

“PLUS juga sudah menjalankan pengesanan kontak dan mengarahkan semua kakitangan operasi dan penyelenggaraan di plaza tol terbabit menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan.

“PLUS memberi jaminan bahawa kerja disinfeksi dan pembersihan diadakan di plaza tol yang terbabit.

“Sehubungan itu, pengguna PLUS dari Sedenak dan kawasan sekitar yang ingin menuju ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru boleh memasuki lebuh raya PLUS menerusi Plaza Tol Simpang Renggam atau Kulai sepanjang tempoh penutupan itu.

“Bagi pelanggan dari Kuala Lumpur yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Simpang Renggam, manakala bagi pelanggan dari Johor Bahru yang menghala ke Sedenak dinasihatkan supaya keluar dari lebuh raya menerusi Plaza Tol Kulai.

“Kami akan memaklumkan sebarang perubahan dari semasa ke semasa”,katanya.

Check Also

BPM Perak Azmi Osman berkata: Anggota bomba BBP Ipoh positif Covid-19

Kuala Kangsar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan seorang anggotanya dari Balai Bomba …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *