COVID-19: Langkah spesifik perlu diteruskan, imbangi kesihatan dan ekonomi

KUALA LUMPUR: Langkah spesifik yang dilakukan oleh kerajaan ketika ini dalam membendung penularan COVID-19 perlu diteruskan untuk mengimbangi aspek kesihatan dan pertumbuhan semula ekonomi.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan), Kuwait University, Prof. Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, tindakan tersebut disifatkan lebih baik berbanding melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita harus mengimbangi impak negatif ekonomi, pada masa yang impak daripada COVID-19 harus diseimbangkan.


“Kalau kita dapat mengawal COVID-19 dengan kaedah yang begitu drastik tetapi ekonomi kita jatuh oleh kerana tindakan-tindakan tersebut, ini tidak akan memberikan impak apa-apa kerana ekonomi adalah salah satu struktur penting yang menentukan tahap kesihatan sesebuah negara.
“Apabila rakyat menjadi miskin, ia juga menyebabkan masalah kesihatan yang besar dan ini dibuktikan dalam pelbagai penyelidikan yang dilakukan oleh banyak negara,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata PKP tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang panjang memandangkan ia memberi kesan besar kepada ekonomi.


Tambahnya, ia terbukti menerusi laporan Bank Dunia yang mendedahkan sektor pertanian dan perkhidmatan, antara yang terjejas teruk susulan pelaksanaan PKP.
“Dianggarkan lebih 30 peratus dari industri kecil dan sederhana (IKS) mengalami masalah impak negatif disebabkan oleh PKP.
“Pada masa sekarang kita lihat 15 peratus daripada pekerja di sektor perkhidmatan hilang pekerjaan akibat PKP, yang mana pergerakan mereka terhad dan menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dalam memberikan perkhidmatan yang produktif dan menjana pendapatan,” ujarnya.
Ketika ini, kerajaan melaksanakan PKP Diperketatkan secara bersasar di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi, selain melaksanakan PKP Bersyarat di beberapa negeri dalam usaha membendung penularan wabak tersebut.

Check Also

BPM Perak Azmi Osman berkata: Anggota bomba BBP Ipoh positif Covid-19

Kuala Kangsar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan seorang anggotanya dari Balai Bomba …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *